Tuesday, March 3, 2015

Kos perubatan masalah terbesar rakyat Malaysia



Lebih separuh daripada rakyat Malaysia bimbang mengenai pelaburan kesihatan mereka selepas bersara apabila Putrajaya pada hujung tahun lalu mengumumkan kos perubatan swasta akan dinaikkan.

Kajian daripada kumpulan khidmat kewangan antarabangsa, Indeks Manulife Investor Sentiment mendapati 56% rakyat Malaysia bimbang tentang kenaikan harga ubat dan kesannya kepada wang simpanan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Manulife Holdings Bhd, Mark O'Dell, berkata perkara paling utama yang dibimbangkan selepas bersara adalah kos perubatan berbanding isu kesihatan yang semakin merosot pada usia tua.
"Ramai responden menunjukkan kos perubatan semasa tempoh persaraan menjadi kerisauan selepas perbelanjaan isi rumah.
"Mereka lebih bimbang jika tidak mampu menampung kos perubatan mereka daripada memikirkan tentang kesihatan yang akan semakin merosot," kata O'Dell dalam satu kenyataan.
Perkara ini berbeza dengan masyarakat negara lain di Asia yang menunjukkan keutamaan mereka adalah tahap kesihatan yang semakin menurun, kata O'Dell.
Ironinya, kajian mendapati 51% rakyat Malaysia menunjukkan kurang peka tentang penurunan tahap kesihatan ketika bersara, berbeza dengan 64% responden daripada seluruh Asia yang menyuarakan tahap kesihatan mereka sebagai kebimbangan utama.
Hampir separuh daripada rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam kajian ini mempunyai insurans perubatan dan kesihatan.
Sebahagiannya berniat untuk memperbaharui semula atau mengekalkan insurans mereka apabila bersara, manakala yang lain enggan meneruskannya.
"Punca kebimbangan mereka ini mungkin tindak balas terhadap tindakan Putrajaya hujung tahun lalu yang mengumumkan untuk memberi laluan kepada sektor swasta untuk menaikkan harga perubatan," kata O' Dell.
"Selepas 12 tahun harga ubat dikawal, langkah itu bakal memberi kesan berganda.
"Orang ramai sedar kesan inflasi perubatan jika tindakan menaikkan harga ubat dilakukan," katanya.
Mac lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam mengumumkan pengamal perubatan dan pergigian dibenarkan menaikkan yuran khidmat profesional mereka sebanyak 14.4%.
Subramaniam berkata, kadar itu adalah kenaikan paling maksimum yang dibenarkan Putrajaya dan berpatutan serta selari dengan kadar inflasi 23%.
"Ketika bersara, pelabur Malaysia menjangkakan perbelanjaan kesihatan dan perubatan mereka adalah sebanyak 13% daripada perbelanjaan bulanan mereka.
"Manakala pelabur yang mahu meneruskan insurans perubatan mereka dijangka menambah lagi 10% perbelanjaan untuk premium kesihatan dan perubatan.
"Dalam kiraan mereka, hanya perbelanjaan isi rumah dan keperluan harian (28% daripada jumlah perbelanjaan bulanan) akan bertambah setiap bulan," kata O'Dell.
Katanya, walaupun keutamaan antara rakyat Malaysia dengan masyarakat lain di Asia berbeza, namun isu kemerosotan kesihatan juga tidak diketepikan.
"Jelas rakyat Malaysia juga mahu melindungi simpanan kewangan mereka tetapi dengan menaikkan perbelanjaan kesihatan bukanlah cara yang betul," katanya.
Indeks Manulife Investor Sentiment adalah kaji selidik bersiri yang mengkaji keperluan pelabur di seluruh negara.
Kajian MISI juga keyakinan terhadap pelaburan semakin melonjak, walaupun tidak menepati perbelanjaan besar dalam pelaburan sebenar.
Malaysia berkongsi kedudukan dengan Filipina sebagai negara pelaburan paling positif di Asia.
Sentimen pelabur keseluruhan antara pelabur di Malaysia melompat 10 mata kepada 58, jauh lebih tinggi daripada purata 24 di negara lain.
Jumlah lonjakan itu dicatatkan sebagai paling besar dalam tempoh suku pertama 2014 sekali gus meningkatkan keyakinan dalam prospek pembangunan negara.
Pendapat pelabur Malaysia dalam semua sektor aset secara umumnya adalah positif, tetapi yang paling menonjol adalah ekuiti (naik 9% hingga 39%) dan dana bersama (naik 16% hingga 54%).
Kedua-dua ekuiti dan dana bersama dibantu oleh kenaikan di pasaran saham sepanjang tempoh tersebut.
Keadaan ekonomi yang agak kukuh di Malaysia memberikan kesan; suku pertama 2014 pertumbuhan KDNK berkembang di +6.2% setiap tahun, menepis jangkaan pasaran dan menunjukkan pertumbuhan paling kukuh sejak suku keempat 2012.
Penganalisis bagaimanapun secara berhati-hati optimis dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia semasa baki 2014.
Pertumbuhan dijangka didorong oleh permintaan domestik dan pemulihan sektor eksport berdasarkan pertumbuhan ekonomi dunia yang berterusan.
Pegangan tunai antara pelabur Malaysia kekal antara sekitar empat bulan pendapatan peribadi, yang terendah di rantau ini, tetapi menyusutkan peratus portfolio mereka kepada 40%. – 24 Mei, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kos-perubatan-masalah-terbesar-rakyat-malaysia-lepas-bersara#sthash.bERGOTGs.dpuf

0 comments:

Post a Comment