Friday, June 19, 2015

Rayuan kos sakit kanser usus

Dipetik dari Sinar Harian 
KUALA KRAI - Seorang penoreh getah dari Kampung Sepuluh, dekat sini, merayu bantuan daripada orang ramai untuk membiayai kos rawatan penyakit kanser usus dihadapinya yang dikesan sejak tahun lalu.

Anuar Yaacob, 43, memaklumkan, doktor mengesahkan kanser tersebut telah merebak ke paru-parunya dan keadaan itu menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja.

Menurut bapa kepada enam anak itu, dia disahkan mengidap penyakit tersebut pada awal tahun lalu dan tidak mampu membiayai sendiri kos rawatan yang melibatkan perbelanjaan agak besar.

"Sejak disahkan mengidap kanser usus, saya tak dapat bekerja kerana tahap kesihatan semakin merosot dan saya perlu mendapatkan rawatan lebih kerap di hospital.

"Sekarang hanya isteri saya bekerja bagi menyara kehidupan kami anak-beranak. Gaji yang diperolehnya sekitar RM900 dan ia tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan termasuk kos rawatan bagi penyakit saya," katanya.

Bagaimanapun Anuar bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan walaupun ia hanya mencukupi untuk pembiayaan persekolahan empat anaknya.

Katanya, anak sulungnya kini berusia 20 tahun tetapi tidak dapat bekerja kerana menghadapi masalah kesihatan sejak kecil.

"Sekarang isteri saya ambil alih tugas mencari rezeki. Sebenarnya saya berasa segan untuk minta bantuan orang ramai bagi merawat penyakit kanser yang kini berada pada tahap tiga.

"Namun disebabkan terdesak, saya ketepikan rasa malu. Setakat ini, doktor belum maklumkan berapa bayaran yang dikenakan untuk rawatan dan saya hanya rayu bantuan untuk tanggung kos ulang-alik ke hospital," katanya.

Tambahnya, sejak disahkan mengidap kanser, dia mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sain Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu dan Hospital Kuala Krai, di sini.

"Rawatan yang diterima bergantung kepada tahap kesihatan. Ada kalanya sekali seminggu dan pernah juga dua kali seminggu. Keadaan itu pasti memerlukan wang untuk berulang-alik ke hospital.

"Saya turut berusaha mendapatkan rawatan alternatif dan sudah banyak duit saya belanjakan untuk tujuan rawatan. Bila saja ada orang beritahu tempat berubat, kami akan pergi dengan harapan dapat sembuh seperti sediakala," katanya.

Beliau berharap ada pihak sanggup membantunya agar dapat berulang -alik ke HUSM tidak lama lagi dan orang ramai yang berhasrat membantunya boleh menyalurkan sumbangan tunai ke akaun simpanan RHB miliknya bernombor 1181 7700 0337 04.

0 comments:

Post a Comment