Sunday, August 3, 2014

Jelajah Ramadan IAM-IKIMfm

PROGRAM Imarah Ramadan memasuki tahun ke empat telah menyantuni insan-insan yang kurang bernasib baik.

BAGI mereka yang berkemampuan, bulan Ramadan boleh diibaratkan seperti ‘pesta makanan’ yang menawarkan pelbagai juadah yang disediakan seperti di bazar Ramadan mahupun hotel atau premis makanan.
Namun, ramai yang tidak menyedari, hakikatnya kedatangan Ramadan bagaikan tiada beza bagi golongan yang kurang berkemampuan khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Hanya yang membezakan bagi mereka adalah kelebihan dan ganjaran pahala berganda dalam melaksanakan ibadah harian mereka, kerana lapar dan dahaga itu sudah menjadi rutin kehidupan mereka.
Melihat kepada realiti yang berlaku, pertubuhan bantuan kemanusiaan, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama stesen radio IKIMfm dan Etiqa Takaful Berhad, tampil untuk menghulurkan bantuan dengan menganjurkan program ‘Imarah Ramadan’ 1435 Hijrah.

Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, program yang telah memasuki tahun ke empat diteruskan lagi untuk tahun ini bagi memenuhi tanggungjawab sosial dengan menyasarkan golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang upaya (OKU) di seluruh Malaysia.

"Program khusus ini merupakan program amal pengagihan pek makanan asas keperluan harian kepada golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi tujuan meringankan beban golongan tersebut untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

"Kira-kira 5,000 penerima bantuan yang dibantu sepanjang program kali ini iaitu juga termasuk golongan pedalaman di Semenanjung dan juga Sabah Sarawak untuk mengagihkan pek Imarah Ramadan.
"Para penerima di beberapa lokasi terpilih ini turut diraikan dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib secara berjemaah," katanya.

Selain program berbentuk bantuan kemanusiaan, program ‘Imarah Ramadan’ turut melibatkan aktiviti sukarelawan yang melibatkan sumbangan berbentuk tenaga dan masa oleh rakan-rakan sukarelawan IAM turut diadakan.

"Melalui program ini, pihak IAM telah menganjurkan program pembungkusan ’Pek Makanan Imarah Ramadan’.
"Program ini melibatkan aktiviti menyediakan pek makanan untuk sumbangan di mana ia melibatkan gotong-royong membungkus serta memasukkan barangan sumbangan ke dalam kotak sebelum diedarkan ke lokasi-lokasi yang telah ditentukan oleh pihak IAM," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad, Ahmad Rizlan Azman, berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat turut serta dalam mengagihkan sumbangan zakat melalui program ‘Imarah Ramadan 1435H’.

"Ini merupakan antara bantuan peringkat tempatan yang kami hulurkan melalui IAM selain daripada program baik pulih rumah fakir miskin, program bekalan air bersih, bantuan uniform sekolah, pembiayaan untuk pelajar miskin dan lain-lain program bagi melaksanakan tanggungjawab sosial kami kepada golongan yang memerlukan.

"Kami berharap agar sumbangan yang kami berikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban para penerima sumbangan di dalam melaksanakan tanggungjawab berpuasa di bulan Ramadan.

"Dan kami amat berterima kasih kepada jawatankuasa program yang menjayakan program ini dari awal perlaksanaannya dan mengharapkan agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selain itu, Zawahir berkata, IAM juga turut mengunjungi Penjara Alor Setar, Kedah bagi mengagihkan sumbangan kepada keluarga banduan yang ditahan.

"Uniknya, program tersebut memberi peluang kepada banduan yang ditahan untuk menemui ahli keluarga mereka sambil berbuka puasa bersama-sama. Rata-rata ahli keluarga banduan yang menerima sumbangan daripada program ini adalah terdiri daripada golongan yang susah dan serba kekurangan.

"Walaupun jangka masa program berbuka yang diadakan ini agak terhad, namun ia telah memberi sedikit kegembiraan kepada banduan dan ahli keluarganya untuk melepaskan rindu dan berbuka puasa bersama-sama," ujarnya.


Artikel Penuh: Utusan Online
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment